Friday, February 17, 2017

Kumpulan Pantun 6 Kerat (6 Baris) Penuh Makna

Kalau ditajak empat penjuru
Usah tinggalkan sudut telaga
Rumputnya tebal perdu pulasan
Kalau bijak cekal berguru
Lautan dalam boleh diduga
Kail sejengkal hanya kiasan

Teratai di kolam di sudut dusun
Kolam berpaya airnya sejuk
Redup ditampan kelapa gading
Mahligai tuan genting tersusun
Teratak saya beratap ijuk
Tidak sepadan duduk berganding

Atap genting dan atap ijuk
Walau berbeza sama berperabung
Sebagai pelindung panas dan hujan
Genting panas ijuk sejuk
Walau sederhana rumah kampung
Mesti dipelihara sebagai warisan

Anak memerang memakan sagu,
Di perdunya mula diterang,
Waktu hari kabur kelala;
Anak orang jangan diganggu,
Kalau suka masuk meminang,
Supaya namamu tidak tercela.

Bangau lantak terbang sekawan,
Tegak terdiam di pematang,
Naik ke pulau semuanya;
Kalau tidak kerana Tuan,
Tidak badan kembali pulang,
Baik di rantau selamanya;

Banyak kuda makan di padang,
Kudanya tua-tua belaka,
Berjalan pun perlahan-lahan;
Banyak muda sudah kupandang,
Semuanya elok-elok belaka,
Tak sama adik pilihan.

Belayar perahu membawa kuini,
Ke Tanjung Jati mengadap Paduka,
Bunga kemboja sembah berkarang;
Kalaulah tahu jadi begini,
Tidaklah hati dibawa berduka,
Ku pilih saja orang lain.

Bergayut-gayut si anak ungka,
Cukup takut bila dimandi,
Lari keluar masuk ke kota;
Sayang saudara masa bersuka,
Sayang emak sayang abadi,
Sayang kekasih masa bercinta.

Bukan kesumba pakaian raja,
Kesumba pakaian Sultan,
Sultan Yang Dipertuan Muda;
Bukan hamba ke mari sengaja,
Ke mari membawa pesan,
Perintah tak boleh ditunda.

Bila gelap pasang pelita,
Namun hari masih cerah,
Di luar masih terang cahaya;
Jika sudah begitu dipinta,
Hutang dartah dibayar darah,
Hutang nyawa, nyawa padahnya.

Di ranting onak bukan jerami,
Jerami kusut dibelit akar,
Bertiup angin menghembus debu;
Yang penting anak bukan suami,
Suami sanggup bersalin tikar,
Anak mana menukarkan ibu?

Elok ditanam akan padi,
Selang dengan anak pisang,
Biar nampak sebidang huma;
Penyayangkah orang di sini,
Terima menumpang anak dagang,
Mujur-mujur boleh diguna.

Harap laut airnya jernih,
Belayar perahu dikarang manik,
Mencari mutiara di hujung dunia;
Jangan harap wajah yang bersih,
Jika hati sifatnya jijik,
Itu resam adat manusia.

Hidup di paya betuk bersengat,
Ikan betutu tersekat di rakit,
Seluang jauh belida pun jauh;
Hidup di dunia biar beringat,
Belum tentu menongkat langit,
Mumbang jatuh, kelapa pun jatuh.

Jalan kaki berbatu-batu,
Pergi mencari si anak kuda,
Lepas lari terus hilang;
Ingatlah pesanan cikgu,
Tuntut ilmu selagi muda,
Bila tua barulah senang.

Kepada ibu bapa hendaklah patuh,
Janganlah kita cuba menderhaka,
Kelak hidup tak akan sempurna;
Belajar biarlah bersungguh-sungguh,
Agar menjadi manusia berguna,
Supaya dapat memimpin dunia.

Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat dari kayu,
Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar berita,
Bunga kembang sudah pun layu,
Gugur ke bumi tak harum lagi.

Kota Luhut tempat semayam,
Raja Haji datang mengepung,
Banyak pendita ikut bersama;
Jangan ikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung,
Mengagungkan bukti sebesar nama.

Kudup bunga gugur di halaman,
Lebah kelulut di pucuk jarang,
Di barat merbau senduduk condong;
Hidup di dunia atur pedoman,
Usah mengikut telunjuk orang,
Ibarat kerbau dicucuk hidung.

Kuntum tulip merah warnanya,
Tumbuh indah di taman larangan,
Menjadi idaman si gadis cantik;
Hidup ini ketentuanNya,
Tiada daya manusia menahan,
Jika takdir datang menjentik.

Lada dan santan dalam gulai,
Beri tambahan daun salam,
Sayur buat pemakan nasi;
Selama badan kita bercerai,
Nasi dimakan rasa sekam,
Air diminum rasa duri.

Pandan berbunga sekali,
Anak harimau kena ipuh,
Destar tertenggek di kepala;
Jalan daratan dilalui,
Berbagai bahaya ditempuh,
Di sini kita bersua pula.

Pegaga dirajut buat kenduri,
Ulam raja beralas pinggan,
Nasi dimasak di bawah pohon;
Hanya terperuk di tempat sendiri,
Macam mana nak luas pengalaman,
Seperti katak di bawah tempurung.

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludung dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.

Rama-rama di surau gedang,
Surat jatuh kebalik tabir,
Pipit senandung makan padi;
Selama tuan di rantau orang,
Ubat jauh penyakit hampir,
Sakit ditanggung seorang diri.

Ribut mendesah dari seberang,
Basah halaman ditimpa hujan,
Kilat tertampan di lereng bukit;
Sewaktu susah ditolong orang,
Setelah senang tegar melawan,
Ibarat melepaskan anjing tersepit.

Salai pisang dibelah jua,
Arang seludang ditimpa belebas,
Di bawah pangkin api menyala;
Bagai pinang dibelah dua,
Orang memandang mata tak lepas,
Benarkah pengantin sehati sehala?

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah sekah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Kemana hendak digapai lagi?

Ular tedung jangan dipermudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.
Bertih seberang bertih dagangan,
Beras berkisar dalam empingan,
Sekam mendap di gemal padi;
Kasih abang kasih berpanjangan,
Jelas segar dalam ingatan,
Akan tetap kekal abadi.

Apa diharap padi seberang,
Entah berderai entahkan tidak,
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap kekasih orang,
Entah bercerai entah tidak,
Entah makin bertambah sayang.
loading...

0 komentar:

Post a Comment

Artikel ini belum lengkap tanpa komentar anda!
Silahkan berkomentar yang santun dan cerdas, tidak menghina, tidak memaki dan tidak menyebar kebencian. Terima kasih